Jika bercakap mengenai isteri kepada mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, watak dan karakter beliau akan sentiasa dikaitkan dengan sisi gelap yang menyebabkan jatuhnya mantan Perdana Menteri itu sendiri.
Dari kes Mahkamah yang masih melalui perbicaraan buat masa ini, tohmahan berkenaan cincin berharga jutaan ringgit, sehinggalah fitnah keatas pembabitan beliau berkenaan isu pembunuhan warga Mongolia yang mencetuskan rasa benci umum keatas pemilik nama Rosmah Mansor itu sendiri.
Lupakan sebentar berkenaan perbezaan faktor politik dan emosi kebencian melampau terhadap susuk tubuh ini. Umum sudah mengetahui kejayaan dan jasa Datin Seri Rosmah Mansor mengemudi program PERMATA yang pernah ditentang kuat dan diserang sebagai projek membazir oleh Pakatan Harapan dan kemudiannya terbukti sebagai sesuatu yang amat berharga setelah Pakatan Harapan menjadi kerajaan kemudiannya.
Jemaah Menteri Pakatan harapan pada 5 April 2019 telah bersetuju supaya nama PERMATA ditukar kepada GENIUS selaras dengan pembaharuan struktur tadbir urus Program tersebut. Namun kredit patut diberikan kepada Datin Seri Rosmah Mansor atas pandangan jauh beliau.
Namun tidak ramai mengetahui sisi lain jasa Datin Seri Rosmah Mansor yang tidak didedahkan secara meluas, yakni dalam membantu rakyat Malaysia di belakang tabir akibat terperangkap di negara asing yang sedang berada dalam konflik dalaman dan menjadi kritikal akibat konflik tersebut bertukar ganas.
𝗞𝗘𝗝𝗔𝗬𝗔𝗔𝗡 𝗗𝗨𝗔 𝗠𝗜𝗦𝗜 𝗛𝗜𝗗𝗨𝗣 𝗗𝗔𝗡 𝗠𝗔𝗧𝗜.
Ramai rakyat Malaysia yang masih tidak mengetahui penglibatan Datin Seri Rosmah Mansor dibelakang tabir, berjaya mengeratkan hubungan diplomatik Malaysia dengan negara luar, lebih-lebih lagi hubungan rapat beliau dengan pemimpin-pemimpin dunia Islam.
Terdapat dua jasa beliau yang amat besar, namun tidak mendapat publisiti secara meluas, malah jasa beliau ini dikecam hebat oleh mereka yang mempunyai kepentingan dalam politik dengan merendah-rendahkan peranan menteri kerajaan pada masa itu dan turut mengaitkan usaha Rosmah Mansor dengan cubaan campur tangan terhadap pemerintahan suaminya.
Jasa pertama susuk tubuh bernama Rosmah Mansor ini adalah ketika insiden serangan Israel ke atas Freedom Flotilla pada tahun 2010, apabila seorang pelajar Malaysia telah disalah anggap sebagai pengintip oleh Kerajaan Mesir dan ditahan dalam penjara. Sewaktu itu Mohd Ibrahim Azmi, seorang pelajar perubatan Universiti Bristol, sedang mengikuti konvoi Viva Palestina sempena cuti semester bersama sukarelawan pelbagai negara untuk menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin di Gaza.
Amatlah berat jika seseorang itu ditahan atas tuduhan mengintip sesebuah negara, bukan mudah untuk dilepaskan tanpa melalui pelbagai proses perundangan. Kedutaan Malaysia di Mesir telah diberi maklum keatas penahanan tersebut dan kedutaan disana dengan seberapa segera memaklumkan kepada Wisma Putra untuk tindakan susulan.
Walaupun Malaysia mempunyai hubungan diplomatik yang agak baik dengan Mesir, namun agak mustahil mana-mana negara untuk sewenang-wenangnya menganggu proses perundangan negara lain. Disinilah peranan Datuk Seri Najib Razak dan Datin Rosmah Mansor bermula.
DS Najib Razak sedar akan keakraban suri hati beliau ini dengan isteri kepada Presiden (Mesir), Hosni Mubarak. DS Najib Razak meminta bantuan Datin Seri Rosmah Mansor untuk menelefon Puan Suzanne isteri kepada Presiden Mesir, untuk memujuk beliau supaya pelajar Malaysia tersebut dibebaskan. Selang empat jam selepas perbualan telefon yang agak mesra berlangsung, pelajar Malaysia Mohd Ibrahim Azmi dibebaskan dan dikeluarkan dari Mesir serta-merta dengan bantuan kedutaan Malaysia disana.
Jasa kedua Datin Rosmah Mansor pula lebih menarik, ia berlaku sewaktu Ops Piramid berikutan pergolakan yang berlaku di Mesir yang dikenali sebagai “Arab Spring”. Menteri Pertahanan sewaktu itu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah mengarahkan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab ke Mesir untuk meninjau sendiri keadaan keselamatan di sana dan akan memberikan ‘isyarat’ jika pemindahan rakyat Malaysia perlu dilakukan.
Akibat dari keadaan yang semakin bergolak, maka keperluan membawa pulang pelajar dan rakyat Malaysia perlu dilakukan dengan segera. Malangnya, akibat kekurangan penerbangan, maka satu kaedah kecemasan perlu dilakukan segera.
MKN mencadangkan pelajar dan rakyat Malaysia yang terkandas di Mesir perlu dibawa keluar segera menggunakan pesawat Charlie 130 dan turun di Jeddah dan dari Jeddah ke Kuala Lumpur. Namun, idea ini dikhuatiri akan gagal dan amat memakan masa yang lama berikutan ianya perlu melalui proses visa. Semakin lama rakyat Malaysia berada di Mesir, semakin dekat krisis “hidup dan mati” menghampiri mereka.
Disinilah khidmat diplomatik Datin Rosmah Mansor diperlukan sekali lagi. Hubungan “kekeluargaan” atau rangkaian hubungan diantara Datuk Sri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor bersama keluarga Diraja Arab Saudi ditagih sekali lagi. Hubungan akrab ini akhirnya telah banyak membantu proses mempercepatkan rayuan Kerajaan Malaysia untuk menyelamatkan rakyat yang terkandas.
Atas permintaan luar biasa yang diusahakan oleh Datin Seri Rosmah Mansor, kerajaan Arab Saudi membenarkan pelajar dan rakyat Malaysia dibawa masuk dari Mesir ke Jeddah, sebelum dibawa pulang ke tanah air tanpa melalui proses visa.
Tidak terhenti dengan hanya memberikan pengecualian visa, kerajaan Arab Saudi juga menyediakan dua penerbangan menggunakan pesawat Jumbo 747 secara percuma. Misi “Ops Piramid” yang diusahakan oleh kerajaan pada masa itu berjaya membawa pulang 8,341 rakyat Malaysia.
𝗝𝗔𝗦𝗔 𝗬𝗔𝗡𝗚 𝗕𝗔𝗜𝗞 𝗧𝗘𝗧𝗔𝗣 𝗗𝗜𝗞𝗘𝗡𝗔𝗡𝗚
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman pernah berkata bahawa beliau menghargai bantuan oleh isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor untuk membawa keluar pelajar Malaysia dalam keadaan “antara hidup dan mati” dari Mesir pada 2011 dimana pemindahan itu perlu dilakukan dengan pantas.
Anifah juga berkata, beliau bekerjasama rapat dengan rakan sejawatannya di Mesir dan di Arab Saudi bagi menjalankan proses pemindahan tersebut;
“𝑰𝒔𝒕𝒆𝒓𝒊 𝑷𝑴 𝒂𝒅𝒂 𝒉𝒖𝒃𝒖𝒏𝒈𝒂𝒏 𝒚𝒂𝒏𝒈 𝒔𝒂𝒚𝒂 𝒕𝒂𝒉𝒖 𝒔𝒂𝒏𝒈𝒂𝒕 𝒃𝒐𝒍𝒆𝒉 𝒎𝒆𝒎𝒃𝒂𝒏𝒕𝒖, 𝒕𝒆𝒓𝒖𝒕𝒂𝒎𝒂 𝒅𝒂𝒍𝒂𝒎 𝒌𝒆𝒂𝒅𝒂𝒂𝒏 𝒕𝒆𝒓𝒔𝒆𝒃𝒖𝒕. 𝑲𝒆𝒏𝒂𝒑𝒂 𝒅𝒊𝒂 𝒕𝒊𝒅𝒂𝒌 𝒃𝒐𝒍𝒆𝒉 𝒈𝒖𝒏𝒂𝒌𝒂𝒏 𝒉𝒖𝒃𝒖𝒏𝒈𝒂𝒏 𝒊𝒕𝒖? 𝑰𝒂 𝒂𝒅𝒂𝒍𝒂𝒉 𝒌𝒆𝒂𝒅𝒂𝒏 𝒂𝒏𝒕𝒂𝒓𝒂 𝒉𝒊𝒅𝒖𝒑 𝒅𝒂𝒏 𝒎𝒂𝒕𝒊. 𝑺𝒆𝒃𝒂𝒈𝒂𝒊 𝒎𝒆𝒏𝒕𝒆𝒓𝒊 𝒍𝒖𝒂𝒓 𝒔𝒂𝒚𝒂 𝒃𝒐𝒍𝒆𝒉 𝒕𝒆𝒓𝒊𝒎𝒂 𝒃𝒂𝒏𝒕𝒖𝒂𝒏 𝒔𝒆𝒔𝒊𝒂𝒑𝒂 𝒔𝒂𝒋𝒂, 𝒋𝒊𝒌𝒂 𝒊𝒂 𝒃𝒐𝒍𝒆𝒉 𝒎𝒆𝒏𝒋𝒂𝒎𝒊𝒏 𝒌𝒆𝒔𝒆𝒍𝒂𝒎𝒂𝒕𝒂𝒏 𝒓𝒂𝒌𝒚𝒂𝒕 𝒌𝒊𝒕𝒂”
Itulah sedikit sebanyak Jasa Datin Sri Rosmah Mansor yang tidak didendangkan atau digelapkan.
Banyak lagi jasa beliau yang tidak direkodkan samaada dari segi video atau secara bertulis sebenarnya. Tiada arkib yang menyimpan rekod-rekod berharga seperti ini, kecuali beberapa komen pemain media sosial yang pernah berdepan dan berurusan dengan beliau dalam mendapatkan bantuan.
Kesemua mereka yang pernah meminta bantuan daripada beliau akan dilayan baik sekiranya mampu dilaksanakan dan juga akan ditolak secara berhemah jika beliau tidak mampu membantu atau akan memudaratkan.
Semoga Allah membalas jasa-jasa beliau.
Tamat
𝑆𝑢𝑚𝑏𝑒𝑟:
𝐴𝑛𝑖𝑓𝑎ℎ ℎ𝑎𝑟𝑔𝑎𝑖 𝑏𝑎𝑛𝑡𝑢𝑎𝑛 𝑅𝑜𝑠𝑚𝑎ℎ 𝑘𝑒𝑡𝑖𝑘𝑎 𝐴𝑟𝑎𝑏 𝑆𝑝𝑟𝑖𝑛𝑔
ℎ𝑡𝑡𝑝𝑠://𝑤𝑤𝑤.𝑚𝑎𝑙𝑎𝑦𝑠𝑖𝑎𝑘𝑖𝑛𝑖.𝑐𝑜𝑚/𝑛𝑒𝑤𝑠/249037
𝑅𝑜𝑠𝑚𝑎ℎ 𝑔𝑟𝑎𝑡𝑒𝑓𝑢𝑙 𝑓𝑜𝑟 ℎ𝑒𝑙𝑝 𝑓𝑟𝑜𝑚 𝑒𝑔𝑦𝑝𝑡𝑠 𝑓𝑖𝑟𝑠𝑡 𝑙𝑎𝑑𝑦
ℎ𝑡𝑡𝑝𝑠://𝑤𝑤𝑤.𝑡ℎ𝑒𝑠𝑡𝑎𝑟.𝑐𝑜𝑚.𝑚𝑦/𝑛𝑒𝑤𝑠/𝑛𝑎𝑡𝑖𝑜𝑛/2010/01/08/
𝑁𝑎𝑗𝑖𝑏-𝑅𝑜𝑠𝑚𝑎ℎ’𝑠 𝑡𝑖𝑒𝑠 𝑤𝑖𝑡ℎ 𝑆𝑎𝑢𝑑𝑖 ℎ𝑒𝑙𝑝 𝑒𝑣𝑎𝑐𝑢𝑎𝑡𝑖𝑜𝑛𝑠
ℎ𝑡𝑡𝑝𝑠://𝑤𝑤𝑤.𝑚𝑎𝑙𝑎𝑦𝑠𝑖𝑎𝑘𝑖𝑛𝑖.𝑐𝑜𝑚/𝑛𝑒𝑤𝑠/155318
FB: NORMAN DASUKI