Wednesday, August 4, 2021
Berita Bas Pengantara Percuma Di Putrajaya

Bas Pengantara Percuma Di Putrajaya

PUTRAJAYA – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menerusi agensinya Perbadanan Putrajaya (PPj) memperkenalkan perkhidmatan bas percuma bagi kawasan Putrajaya bermula 1 November 2020.

Perkhidmatan ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Wilayah Prihatin Kementerian Wilayah Persekutuan bagi membantu rakyat khususnya warga Putrajaya mengurangkan beban sara hidup dalam aspek pengangkutan serta memudahkan urusan di Putrajaya. Menurut Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Ir Annuar Musa, beliau berharap kemudahan bas percuma ini akan menggalakkan aktiviti pelancongan domestik di Putrajaya yang dapat membantu memulihkan ekonomi setempat.

“Kemudahan bas percuma ini hanya untuk warganegara Malaysia dan akan merangkumi kesemua laluan bas Nadi Putra sedia ada. Bagi meningkatkan lagi perkhidmatannya, laluan dan kekerapan bas Nadi Putra juga telah dibuat penyusunan semula melibatkan 12 laluan di sekitar Putrajaya.

“Laluan perkhidmatan utama iaitu T500 diperkenal yang bermula di Kompleks E dan akan melalui Kompleks-kompleks Kerajaan di sepanjang Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Presint 1 (Kompleks A, B, C, D & E) dan Persiaran Perdana (Presint 2, dan 3) sehingga ke Dataran Gemilang Presint 4. Kekerapan bagi laluan utama ini adalah setiap 5 minit pada waktu puncak (jam 6.30 pagi hingga 9.00 pagi dan 4.00 petang hingga 6.40 petang), setiap 10 minit pada waktu bukan puncak serta 30 minit untuk waktu malam, hujung minggu atau cuti umum,” katanya.

“Manakala bagi 11 laluan perkhidmatan selebihnya akan melalui kawasan perumahan, komersil dan pejabat selain di Presint 1 hingga 4 dengan kekerapan setiap 15 minit pada waktu puncak, 20 minit pada waktu bukan puncak serta 30 minit pada waktu malam, hujung minggu atau cuti umum,” tambahnya lagi.

Selain Putrajaya Sentral sebagai stesen utama, terdapat dua buah hentian iaitu di Kompleks E Presint 1 dan di Dataran Gemilang Presint 4 juga dijadikan sebagai transit yang menghubungkan laluan perkhidmatan utama dengan beberapa laluan perkhidmatan yang lain bagi memudahkan penumpang.

“Inisiatif bas percuma yang melibatkan anggaran kos sebanyak RM12 juta setahun ini sangat relevan dalam mengukuhkan kesalinghubungan yang cekap serta bermanfaat untuk kesejahteraan hidup rakyat terutama warga Wilayah Persekutuan Putrajaya,” tambahnya lagi.

Relate article

Comment

..
1,544FansLike
8FollowersFollow
1,250SubscribersSubscribe

Berita terkini

Popular