Monday, August 2, 2021
Berita Nasional DI MANA MARUAH UMNO DI KACA MATA KU LI?

DI MANA MARUAH UMNO DI KACA MATA KU LI?


Semalam kita dikejutkan dengan sidang media Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO bersama dengan Mantan Perdana Menteri Pakatan Harapan (Pembangkang pada hari ini) yang duduk di bawah satu pentas yang sama.

Mantan Perdana Menteri inilah yang tidak pernah lekang dengan zikir kleptokrasi terhadap kerajaan UMNO, Barisan Nasional malahan MASIH LAGI menjual naratif fitnah kleptokrasi UMNO – BN pada sidang media semalam.

Cuma yang membezakannya hari ini, Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO turut berkongsi pentas media yang sama sambil mendengar sahaja Mantan Perdana Menteri PH ini melaungkan zikir fitnah kleptokrasinya terhadap kerajaan pemerintah terdahulu BN.

Jadi di manakah maruah UMNO, apabila Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO duduk di pentas media yang sama bersama Mahathir yang masih lagi merupakan pembangkang dan masih lagi tegar menfitnah UMNO sehingga hari ini?

Di manakah maruah UMNO, apabila Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO seolah-olah lebih galak menjadi Penasihat Mahathir daripada menjadi Penasihat UMNO sendiri – duduk seperti tunggul di sebelah Mahathir di sidang media, seolah-olah mengiakan sahaja kisah kleptokratnya?

Harus ditanya juga, di manakah maruah UMNO, apabila Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO sendiri mempertikaikan kesahihan kerajaan hari yang ditubuhkan di bawah persetujuan UMNO itu sendiri?

Harus ditanya juga, di manakah maruah UMNO, apabila Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO merasakan Mahathir yang memporakperandakan UMNO, yang ketika sidang media semalam MASIH LAGI memperbodohkan rakyat dengan naratif kleptokrat, naratif kempen PRU14 mampu menjadi penyelamat negara Malaysia pada hari ini?

Harus ditanya juga, di manakah maruah UMNO, apabila Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO tampaknya yakin gabungan bersama Mahathir yang menjual naratif hutang 1 Trillion, menghapuskan polisi bernas seperti cukai efektif GST yang diperkenalkan BN, menghentikan projek-projek infrastruktur rakyat mampu menjadikan negara Malaysia lebih maju dan progresif?

Dan wajib ditanya juga, di manakah maruah UMNO, apabila Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO begitu yakin Petualang bangsa Melayu Mahathir yang membawa naratif “Ikat Perut”, penghinaan “Bangsa Tongkat”, yang bertanggungjawab menutup periuk nasi sebanyak 17,000 orang sebaik sahaja memegang tampuk kuasa pada 2018 mampu menyelamatkan rakyat dari kancah kemelut pandemik ekonomi hari ini?

Dan yang paling penting, di mana maruah UMNO sebagai parti Melayu yang seharusnya tegas mempertahankan kedaulatan Majlis Raja-Raja Melayu apabila Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO itu sendiri mempertikaikan kesahihan kerajaan hari ini yang telah diperkenankan sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah? Bukankah UMNO seharusnya berpegang kepada sistem Raja Berpelembagaan dan bukan membelakanginya?

Masih wujudkah parti UMNO yang memperjuangkan sistem Raja Berpelembagaan?

Masih mampukah orang Melayu bergantung kepada UMNO untuk mempertahankan Rukun Negara yang dibawa oleh kerajaan UMNO BN satu ketika dahulu?

Masih mampukah UMNO dipertahankan apabila Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO hari ini memilih untuk bersama dengan Mahathir supaya kerajaan campuran yang terdiri dari UMNO itu sendiri dapat dijatuhkan?

Masih mampukah UMNO bertahan sekiranya ahli politik senior seperti Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO itu sendiri seolah-olah bertindak untuk memecah belahkan orang-orang UMNO, mengajak ahli-ahli Parlimen befikir di luar garisan partinya?

Masih mampukah UMNO menarik pelapis-pelapis muda sekiranya ahli politik senior seperti Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO itu sendiri bertindak keanak-anakan dengan menyajikan rakyat dengan kisah Pak Pandir “Asian Tiger” “Asian Lion” nya?

Adakah hanya setakat ini yang pelapis-pelapis generasi seterusnya mampu jangkakan dari UMNO, apabila menyaksikan “Grand Strategies” yang dibawa oleh “Grandfathers” memandangkan usulnya turut dibawa oleh Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO itu sendiri?

Adakah ini yang dikatakan biar kalah tetapi kalah BERMARUAH seperti yang digembar gemburkan oleh segelintir pahlawan-pahlawan akar umbi UMNO yang hebat?

Bagaimanakah mesej di sidang media semalam oleh Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO bersama penghina bangsa Melayu Mahathir akan dibawa oleh ahli-ahli Parlimen Malaysia hari ini?

Dan yang paling penting, apakah tindakan UMNO terhadap Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO yang tidak seiring dengan pendirian-pendirian yang pernah dinyatakan oleh UMNO?

Kerana jelasnya, mesej hari ini semestinya bukan untuk rakyat.

Jauh sekali untuk rakyat.

Tapi hanyalah pesanan khas bagi ahli-ahli parlimen hari ini untuk memilih sama ada untuk menjatuhkan kerajaan PN atau terus bersama kerajaan PN.

Jelasnya semalam. Tiada rakyat di mata kedua-dua ahli politik veteran Malaysia ini.

Kerana tampaknya, bukan undi rakyat yang diperlukan mereka hari ini, hanyalah undi Ahli-Ahli Parlimen yang satu ketika dahulu dipilih rakyat di bawah idea “kleptokrat” Mahathir, di bawah idea “5 tahun sahaja, kita cuba dulu”.

Jelasnya semalam. Tiada ekonomi di mata kedua-dua ahli politik dinasour ini.

Kerana tampaknya, bukan isu kerajaan tidak stabil di dalam laporan Fitch yang dikisahkan tetapi hanyalah undi-undi Ahli-Ahli Parlimen yang “hemat” disasarkan.

Yang pastinya, rakyat Malaysia hari ini terus- terusan dihidangkan dengan drama nombor oleh ahli-ahli politik zaman purba, ahli-ahli politik dari zaman pemerintahan 22 tahun yang sangat dibanggakan semalam baik dari Mahathir, Anwar mahupun Tengku Razaleigh itu sendiri.

Kita sering kali dihidangkan dengan pepatah “Takkan Melayu hilang di dunia”

Iya, benar tetapi selagi mana mereka tidak dikhianati oleh bangsa sendiri. Hari ini, kita terus-terusan menyaksikan pengkhianatan oleh segelintir mereka yang sebangsa.

Inikah Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, harapan kita?
Atau sebenarnya “Broker” Mahathir, harapan PH?

Inikah yang pernah dikatakan sebagai bakal Presiden UMNO, dikatakan Perdana Menteri yang tidak pernah dimiliki atau penyelamat UMNO yang pernah diwar warkan oleh sesetengah pihak?

Jujurnya saya tertanya-tanya, apakah jaminan sumber-sumber sesetengah pihak ini bahawa Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO bukanlah hanya sekadar bidak catur Mahathir yang masih dengan agenda kleptokratnya?

Hari ini semestinya penentu sejauh mana ahli-ahli parlimen yang dipilih rakyat hari ini mampu bergerak tanpa diatur seperti bidak-bidak catur si politikus tua.

Iya, hanyalah coretan dari ahli UMNO yang semakin muak dan jelak dengan ahli-ahli politik zaman purba era 22 tahun yang semalam kelihatannya semakin bongkak seolah-olah nasib rakyat hanya mampu berubah di tangan mereka.

Iya, sidang media semalam sememangnya tidak ubah seperti karutan Si Pak Pandir.

Semoga PRU15 kelak menguburkan Pak Pandir – Pak Pandir alaf 2020 ini.

FB: Nur Zaini

Relate article

Comment

..
1,544FansLike
8FollowersFollow
1,250SubscribersSubscribe

Berita terkini

Popular