Sunday, April 18, 2021
Berita Nasional Kartel Daging Haram Jejaskan Imej Malaysia Sebagai Hub Halal Dunia

Kartel Daging Haram Jejaskan Imej Malaysia Sebagai Hub Halal Dunia

1. Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan (PPUWP) memandang serius akan isu kartel daging haram yang menggemparkan negara. Manakan tidak, isu halal merupakan isu yang begitu sensitif bagi umat islam yang juga rakyat majoriti negara ini. Makanan merupakan aspek yang amat penting yang dititik beratkan oleh islam terhadap umat islam.

2. Islam mempunyai garis panduan dan peraturan dalam semua aspek kehidupan termasuklah perkara yang berkaitan dengan permakanan halal dan haram. Namun begitu, masih terdapat ramai dikalangan masyarakat terutamanya pengusaha yang mengambil jalan mudah dan tidak mengambil berat tentang soal halal dan haram dan isu kartel daging haram ini amat mengecewakan kami dan seluruh umat islam di Malaysia.

3. PPUWP menyokong sepenuhnya gesaan yang telah dibuat oleh Ketua Pemuda UMNO Malaysia bagi kerajaan menubuhkan pasukan khas siasatan dan maklumat ini wajib di dedahkan dengan telus tanpa ada apa-apa unsur campurtangan bagi melindungi mereka yang bertanggungjawab. Hal ini penting bagi umat islam mengenalpasti produk pembekal dan pengusaha daging import yang perlu dielakkan.

4. Kami turut mendesak supaya mereka-mereka yang bertanggungjawab ini dihadapkan ke muka pengadilan dengan segera kerana kami tidak boleh terima sama sekali pengkhianatan mereka terhadap umat islam di seluruh negara. Ini adalah satu isu yang amat membimbangkan kerana ia melibatkan bekalan makanan negara dan akan membawa kepada banyak lagi permasalah yang lain pula seperti ise bekalan daging yang terhad dan membawa kepada harga daging yang tidak terkawal.

5. Isu ini juga akan turut mencemarkan nama baik negara yang amat berpotensi tinggi menjadi hub halal dunia. Pembangunan industri halal bakal terjejas teruk jika kerajaan tidak komited di dalam menguruskan isu ini dan mencari jalan penyelesaian bagi memperbaiki imej negara di dalam menjadi hub halal dunia. Adalah malang bagi Malaysia berhadapan dengan isu kartel daging haram yang semestinya menjejaskan peluang kita menjadi hub halal dunia.

6. Selain daripada itu, selaras dengan pembangunan IR 4.0, kami di PPUWP turut menyarankan kerajaan melalui kementerian-kementerian yang berkenaan dan dengan Kerjasama industri untuk menggunakan inovasi teknologi bagi mengatasi permasalahan yang menjadi punca kepada kartel daging haram ini.

7. Penggunaan block-chain contohnya mampu menetapkan proses dan keperluan daging halal secara digital mengikut standard yang telah ditetapka selain daripada mampu mengesahkan status halal dan meningkat prestasi rantain bekalan makanan halal secara keseluruhan. Isu kartel ini bukan sahaja isu korupsi tetapi ia juga merupakan isu proses yang boleh diganggugugat oleh mereka-mereka yang tidak bertanggungjawab dan penggunaan inovasi teknologi boleh membantu mengurangkan isu ini.

Penulis : Mohamed Nizham Abdullah Hamidi, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan

Relate article

Comment

..
1,549FansLike
8FollowersFollow
1,180SubscribersSubscribe

Berita terkini

Popular