Thursday, October 21, 2021
Berita Nasional Lagi PATI Dicekup Cuba Masuk Guna Lorong Tikus

Lagi PATI Dicekup Cuba Masuk Guna Lorong Tikus

KOTA TINGGI – Tentera Darat Malaysia (TDM) menahan 18 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) di sektor Operasi Benteng (Op Benteng) di kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Bgd) yang cuba memasuki negara melalui lorong tikus, pagi tadi.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam kenyataan berkata, kesemua PATI tersebut merupakan warganegara Indonesia terdiri daripada 13 lelaki dan 5 wanita yang berusia dalam lingkungan 18 hingga 45 tahun.

“Kejadian pertama berlaku pada sekitar jam 5.06 pagi, di mana anggota petugas Pos Pemerhati telah mengesan pergerakan masuk bot yang mencurigakan cuba merapati pantai di sekitar Kuari Batu, Pantai Kampung Tanjung Che Lahom, Kota Tinggi, Johor,

“Pasukan bertindak menghubungi pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), tim dron dari Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) untuk membuat pemantauan dan mengatur gerak tim Quick Reaction Force (QRF) bagi membuat penjejakan dan mengepung kawasan tersebut, Seorang PATI ditangkap ketika sedang bersembunyi di kawasan sekitar.

“Serbuan yang dilakukan pada jam 06.25 pagi telah berjaya menahan 17 PATI. Seorang lagi PATI dijumpai sedang bersembunyi di sekitar kawasan tersebut pada jam 11.25 pagi,” katanya.

Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM 11,484.20 yang melibatkan wang tunai matawang Malaysia RM 2,915.25, matawang Indonesia IDR 7,783,700.00 (RM 2,215.46) dan turut dirampas adalah telefon pintar, barangan kemas serta jam tangan pelbagai jenama.

“Kesemua PATI ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia.

“Laporan polis juga telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai,” tambahnya. Pasukan akan terus menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan dan atur gerak tim QRF diteruskan.

Relate article

Comment

..
1,544FansLike
8FollowersFollow
1,280SubscribersSubscribe

Berita terkini

Popular