Sunday, April 18, 2021
Berita Nasional PDRM Buka Kertas Siasatan Pendakwah Kongsi Semula Berita Lama Di Facebook

PDRM Buka Kertas Siasatan Pendakwah Kongsi Semula Berita Lama Di Facebook

KUALA KANGSAR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan satu kenyataan dimuat naik dalam laman Facebook dipercayai milik seorang pendakwah kerana cuba memburukkan imej pasukan keselamatan itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kenyataan menerusi hantaran pada 13 November lalu itu dimuat naik oleh satu akaun yang menggunakan nama Ustaz Muhammad Abdullah-UMA.

“Kenyataan (status) ‘amat menyedihkan’ itu dimuat naik bersama keratan akhbar tentang enam jemaah lelaki termasuk empat warga emas dikenakan hukuman denda oleh Mahkamah Majistret Kuala Kangsar kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tindakan pemilik akaun itu mencetuskan persepsi buruk kepada pihak polis seolah-olah ia baru berlaku sedangkan kejadian itu dilaporkan pada 23 April lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar di sini hari ini.

Beliau berkata, laporan polis telah dibuat semalam bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, pihaknya juga akan melihat keperluan untuk memanggil pemilik akaun itu yang dipercayai pendakwah untuk siasatan lanjut.

“Kejadian yang berlaku seperti mana dikongsi Facebook berkenaan adalah berita lama tetapi dikitar semula seolah-olah baharu berlaku. Ini memberi gambaran negatif masyarakat kepada pihak polis.

“Hantaran itu juga dengan niat mengaibkan pihak polis dan institusi keagamaan serta berbaur hasutan sekali gus menjatuhkan imej PDRM ekoran telah dikongsi ramai dan mendapat komen negatif warga maya,” katanya.

Sehingga kini, hantaran tersebut mendapat lebih 841 reaksi, 150 komen dan 164 perkongsian di laman Facebook sejak di muat naik Jumaat lalu.

Akhbar 23 April lalu melaporkan, kesemua enam jemaah lelaki didenda RM800 atau sebulan penjara kerana ingkar PKP apabila  didapati berhimpun di dalam mana-mana kawasan tempat berjangkit bagi maksud keagamaan.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah masjid di Kampung Sayong Tengah di sini pada pukul 8.40 malam, 16 April lalu.

Relate article

Comment

..
1,549FansLike
8FollowersFollow
1,180SubscribersSubscribe

Berita terkini

Popular