Wednesday, August 4, 2021
Berita Pemilik PA Sri Labuan Akhirnya Terima Rumah Baharu RazakMas 2

Pemilik PA Sri Labuan Akhirnya Terima Rumah Baharu RazakMas 2

KUALA LUMPUR – Bercampur baur perasaan pemilik-pemilik di Perumahan Awam (PA) DBKL Sri Labuan, Bandar Tun Razak apabila janji kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini telah terlaksana dengan penerimaan surat tawaran rumah baharu.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak Datuk Rizalman Mokhtar, seramai 395 pemilik kini sedang menerima surat tawaran ke rumah baharu Razak Mas 2 yang terletak bersebelahan kawasan perumah tersebut.

“395 Pemilik Perumahan Awam Sri Labuan menerima Surat Tawaran Rumah Razak Mas 2 secara berperingkat bermula hari ini.

“Mereka akan mula menduduki rumah baharu pada Suku Pertama Tahun 2021.” katanya menerusi perkongsian di laman Facebook miliknya.

PA Sri Labuan mula diduduki pada tahun 1982 dengan terdapat 2 jenis variasi rumah yang mempunyai 1 bilik dan 2 bilik.

“Rumah baharu bersaiz 805 kaki persegi dan berharga RM198,000 hanya ditawarkan dengan harga RM28,000 bagi pemilik 2 Bilik dan RM21,000 bagi pemilik 1 bilik. Dalam erti kata lain bayar harga rumah flat tetapi ditawarkan rumah kondominium,” ujarnya.

Pihaknya juga berterima kasih kepada Menteri Wilayah Persekutuan yang membangunkan dan merealisasikan impian penduduk di sini.

“Terima kasih YB Tan Sri Annuar Musa Menteri Wilayah Persekutuan yang telah memuktamadkan proses rundingan dan merealisasikan impian mereka untuk memiliki rumah sendiri.

“Tidak lupa jasa YBM Ku Nan (Tengku Adnan) mantan Menteri Wilayah Persekutuan yang memulakan cadangan pembangunan tersebut,” tambahnya lagi.

Beliau turut berkongsi perasaan kepuasan apabila melihat pemilik-pemilik yang menerima surat tawaran tersebut daripadanya yang mewakili Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Kesabaran dan perjuangan yang konsisten akhirnya membuahkan hasil yang menggembirakan,” tambah beliau.

Relate article

Comment

..
1,544FansLike
8FollowersFollow
1,250SubscribersSubscribe

Berita terkini

Popular