Wednesday, August 4, 2021
Politik Pemuda UMNO Negeri Sembilan Sambut Baik Keputusan Pucuk Pimpinan Parti

Pemuda UMNO Negeri Sembilan Sambut Baik Keputusan Pucuk Pimpinan Parti

Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan menyambut baik keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO semalam untuk terus bersama dengan Kerajaan Perikatan Nasional dan menolak sebarang kerjasama dengan DAP serta PKR.

Keputusan ini adalah merupakan satu keputusan yang tepat dan mengambil kira pandangan serta sentimen daripada ahli akar umbi. Ini jelas menunjukkan bahawa kepimpinan parti tidak pernah mengenepikan akar umbi dalam menentukan segala keputusan penting melibatkan hala tuju parti.

Selain daripada itu, keputusan ini juga menunjukkan bahawa kepimpinan UMNO menjunjung titah Kebawah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong supaya semua parti politik mengadakan perdamaian dan mengurangkan permainan politik bagi membolehkan Kerajaan memberi keutamaan kepada usaha menangani Covid-19.

Dengan ini, fokus UMNO hendaklah terarah kepada mendokong usaha rekonsilasi nasional atau agenda perdamaian nasional yang didokong oleh Yang Berhormat Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini. Sebagai sebuah parti terbesar di negara ini, UMNO perlu menjadi pendokong kepada usaha ini kerana itulah asas perjuangan parti iaitu agenda rakyat sentiasa perlu diutamakan.

Paling penting ketika ini adalah agenda untuk kepentingan rakyat. Semua telah maklum bahawa dalam kita berhadapan dengan cabaran berhadapan dengan pandemik Covid-19 ini, ia memberi implikasi yang teruk kepada ekonomi negara. Ramai rakyat yang kini terkesan daripada impak ekonomi yang sedang meruncing. Ada yang kehilangan kerja dan sumber pendapatan. Ekonomi negara ketika ini berada pada tahap yang membimbangkan.

Justeru, inilah yang perlu kita fokuskan. Jangan kita terjerat dengan permainan politik parti pembangkang yang gilakan kuasa. Akhirnya, rakyat yang terperangkap. Dan rakyat juga sedang sengsara daripada apa yang berlaku.

Walhal semua ini adalah jerat politik daripada mereka yang mempunyai agenda tersendiri. Mereka sengaja mencetuskan polemik politik kerana mahu melihat kita gagal sebagai salah sebuah daripada parti gabungan di dalam Kerajaan. Maka, berhati-hatilah. Jangan mudah kita terjerat.

Kita perkukuhkanlah ukhuwah sesama parti di dalam gabungan gabungan Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional. Yang penting jangan biarkan UMNO dipelekehkan. Kepada sesiapa sahaja di dalam gabungan Kerajaan hari ini, hormatilah UMNO sebagai parti terbesar. Dan hormatilah setiap pengorbanan UMNO. Sama-samaah kita pulihkan negara ini. Agar kita dapat memutuskan rantaian pandemik Covid-19 sekali gus mengembalikan semula kegemilangan ekonomi negara. Insya-Allah.

27 OKTOBER 2020

DATO’ MOHD ZAIDY ABDUL KADIR
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan

Relate article

Comment

..
1,544FansLike
8FollowersFollow
1,250SubscribersSubscribe

Berita terkini

Popular