Monday, August 2, 2021
Berita Pencemaran asap di ibu negara India membimbangkan

Pencemaran asap di ibu negara India membimbangkan

NEW DELHI: New Delhi diselimuti asap berbahaya berikutan pencemaran udara kini meningkat di tahap yang teruk, beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menggambarkan udara di negara itu sangat “kotor”.

Asap dari pembakaran pertanian, asap kenderaan dan pelepasan asap industri – ditambah dengan suhu sejuk dan angin bergerak perlahan yang memerangkap bahan pencemar di bandar itu.

Secara tidak langsung ia menjadikan udara di ibu kota India itu tidak ubah seperti sup beracun pada musim sejuk.

Indeks kualiti udara di 36 lokasi pemantauan pencemaran Delhi mencatatkan kadar zarah dalam udara kini berada di tahap PM2.5 dan PM10 yang mudah masuk ke dalam aliran darah dan organ penting.

Lembaga Kawalan Pencemaran Pusat mencatatkan pencemaran udara itu berada di antara 282 dan 446 kini menghampiri tahap pencemaran kategori “teruk”.

Kategori udara yang “baik” adalah antara 0 hingga 50, menurut pasukan pemantau alam sekitar kerajaan.

“Peningkatan ketara pencemaran udara disebabkan oleh kebakaran pokok” dikesan di 1,213 kawasan di negeri Haryana dan Punjab yang tertinggi dicatatkan pada musim ini dan mencapai 17 peratus dari tahap PM2.5 Delhi,” menurut laporan Sistem Ramalan dan Penyelidikan Kualiti Cuaca dan Udara (SAFAR).

“Kemerosotan (kualiti udara) dijangka akan berlarutan lebih dua hari,” katanya.

“Pembakaran pada musim kali ini dimulakan lebih awal kerana penaburan dan penuaian yang dilakukan oleh petani di tengah-tengah kebimbangan kekurangan tenaga kerja ketika COVID-19,” Kata seorang pegawai.

Keadaan yang semakin buruk itu berlaku ketika Trump membangkitkan kesan pencemaran menyebabkan perubahan iklim tidak adil kepada AS.

“Lihatlah China, betapa kotornya. Lihatlah Russia, lihatlah India – itu kotor. Udaranya kotor,” kata Trump pada perbahasan presidennya dengan saingan Demokrat, Joe Biden.

Saintis memberi amaran bahawa musim pencemaran tahun ini akan menjadikan 20 juta penduduk Delhi lebih mudah dijangkiti COVID-19.

“Pencemaran udara meningkatkan risiko jangkitan penyakit – keadaan yang sama dialami pesakit atau kematian akibat COVID-19,” kata ahli epidemiologi, Sumi Mehta dari Vital Strategi pertubuhan bukan berasaskan keuntungan global kepada AFP.

Sementara, Anumita Roy Chowdhury dari Pusat Sains dan Alam Sekitar yang berpusat di Delhi kepada AFP menyatakan wujud kekhuatiran jangkitan akan bertambah ketika musim sejuk diburukkan lagi dengan pencemaran udara yang meningkatkan jangkitan penyakit pernafasan.

Ketua pegawai perubatan bandar Gurugram dekat New Delhi, Virender Yadav, memberitahu The Times of India beberapa pesakit COVID-19 yang pulih kini mengalami masalah pernafasan berikutan peningkatan pencemaran udara. – AFP

Relate article

Comment

..
1,544FansLike
8FollowersFollow
1,250SubscribersSubscribe

Berita terkini

Popular