Saturday, October 16, 2021
Berita Tempatkan Pesakit Covid-19 Tahap Rendah Di Hotel Dan Kem PLKN

Tempatkan Pesakit Covid-19 Tahap Rendah Di Hotel Dan Kem PLKN

KUALA KANGSAR – Kerajaan dicadangkan memanfaatkan kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang tidak digunakan sebagai pusat kuarantin bagi menampung lambakan pesakit Covid-19 ketika ini.

Exco Pemuda Umno, Mustafa Shah Abdul Hamid, berkata cadangan itu sedikit sebanyak akan membantu kerajaan menangani lambakan suspek pesakit Covid-19 di seluruh negara dan menjimatkan kos untuk mewujudkan pusat kuarantin baharu.

Katanya, selain kem PLKN, syarikat milik kerajaan yang mempunyai perniagaan hotel termasuk syarikat swasta juga boleh berbuat demikian.

“Kos untuk mendiami hotel ini, dicadangkan ditanggung oleh mana-mana pesakit yang berkemampuan seperti mana proses kuarantin individu dari luar negara ke Malaysia.

“Begitu juga sekiranya pihak swasta yang ingin turut melibatkan diri menaja mana-mana hotel bajet untuk tujuan yang sama dan dicadangkan untuk dikecualikan cukai tahunan sebagai timbal balik atas komitmen membantu kerajaan memerangi pandemik ini.

“Ianya secara tidak langsung dapat membantu perniagaan hotel yang terjejas kini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mustafa yang juga Ketua Pemuda Umno Kuala Kangsar berkata, situasi pertambahan pesakit Covid-19 ketika ini sangat membimbangkan.

Katanya, dengan peningkatan jumlah pesakit ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini menghadapi situasi yang mana bilangan katil bagi pusat-pusat kuarantin semakin terhad.

“Disebabkan itu, KKM juga telah menetapkan bahawa pesakit Covid-19 tahap satu dan dua, hanya perlu menjalani rawatan serta kuarantin kendiri di premis sendiri atau rumah sahaja.

“Bagaimanapun pada pengamatan saya, apabila pesakit Covid-19 menjalani kuarantin di rumah, ianya berkemungkinan merbahayakan kesihatan kepada isi rumah yang lain dan ditambah lagi dengan persepsi masyarakat yang agak skeptikal terhadap individu yang sedang dikuarantin ini,” katanya.

Beliau berkata, Sekiranya individu itu menjalani kuarantin di rumah, mereka berkemungkinan juga kurang mendapat pemantauan dari pihak berwajib.

“Ia tidak sama seperti di pusat-pusat kuarantin yang mana KKM senantiasa mengambil maklum keadaan semasa mereka secara bersemuka.

“Maklumbalas kesihatan harian individu yang dikuarantin di rumah menerusi aplikasi MySejahtera kemungkinan juga tidak tepat kerana pesakit bimbang akan dibawa ke hospital.

“Semoga usaha bersama kita melawan pandemik Covid-19 ini mendapat keberkatan dan dipermudahkan oleh Allah S.W.T bagi menghadapi situasi yang sukar ini,” katanya.

Semalam, sebanyak 4,275 kes baharu Covid-19 dicatatkan di Malaysia iaitu tertinggi sejak wabak itu melanda negara awal tahun lalu.

Jumlah itu menjadikan keseluruhan kes jangkitan Covid-19 di Malaysia terus meningkat kepada 180,455 dengan 42,769 adalah kes aktif dengan kebolehjangkitan.

Sebelum ini angka jangkitan tertinggi Covid-19 di Malaysia direkodkan pada 16 Januari lalu iaitu 4,029 manakala pada 20 Januari sebanyak 4,008 kes dicatatkan.

Relate article

Comment

..
1,544FansLike
8FollowersFollow
1,290SubscribersSubscribe

Berita terkini

Popular